Thursday, 11 August 2011

--Kasih Sayang --


Rasulullah SAW bersabda, “Orang-orang yang menyebarkan kasih sayang akan dikasihi Allah. Maka sayangilah makhluk di bumi, niscaya yang di langit akan menyayangi kamu.”
(HR Ahmad, al-Haakim, Abu Dawud)


Sebagai contoh, Rasulullah sangat kasih kepada kanak-kanak. Abu Hurairah r.a. menceritakan bagaimana satu hari Baginda mengucup Hassan bin Ali ketika Al-Aqra’ bin Habis al-Tarmimi ada di sisi. Al-Aqra’ berkata, dia ada 10 anak tetapi tidak pernah mengucup walaupun seorang daripada mereka.

Rasulullah kemudian memandang dan berkata (bermaksud): “Sesiapa yang tak mengasihi, tidak akan dikasihi.” (riwayat Bukhari)

Muhammad juga sentiasa berkasih sayang kepada orang lain, termasuk terhadap individu yang melakukan kesalahan dalam keadaan jahil. Jika berlaku kesilapan, Baginda menegur dengan bijaksana dan lemah lembut sehingga mesejnya dapat disampaikan dengan berkesan.

Sebagai contoh, seorang Arab badawi didapati kencing dalam sebuah masjid. Beberapa sahabat cuba menegah dan memukulnya, tetapi Rasulullah mengarahkan supaya dibiarkan seketika lelaki itu sehingga dia selesai dengan hajatnya. Baginda kemudian mengambil air dengan sebuah bekas dan mencurahkannya di tempat kencing itu.

Kaedah itu menunjukkan bagaimana Baginda menyampaikan dakwah secara praktikal dan tidak menzalimi sesiapa.

Haiwan juga tidak terlepas daripada kasih sayang Rasulullah. Sebagai contoh, Baginda melarang sesiapa membunuh tanpa alasan yang diharuskan syarak. Baginda bersabda (bermaksud): Sesungguhnya Allah mewajibkan ihsan ke atas sesuatu. Apabila kamu membunuh, hendaklah membunuh dengan baik dan apabila menyembelih, hendaklah menyembelih dengan baik. Dan hendaklah seseorang itu menajamkan mata pisau dan memberi keselesaan kepada sembelihannya (riwayat Muslim).

Ketika bersama tentera Islam menuju ke Makkah, Baginda ternampak seekor anjing betina menyusukan anak-anaknya. Bimbang dipijak tentera Islam, Baginda mengarahkan seorang sahabat, Ju’il bin Suraqah, supaya berdiri di samping haiwan itu untuk mengelak ia dianiaya, termasuk secara tidak sengaja.

Kepada sesiapa yang melakukan penganiayaan kepada haiwan, Baginda bersabda (bermaksud): “Seorang wanita diazab disebabkan dia mengikat seekor kucing tanpa memberinya makan dan minum, serta tak membiarkannya memakan binatang yang ada di bumi” (riwayat Muslim).


No comments:

Post a Comment

Anda yang Terbaik